Limfatik Filariasis di Malaysia – Parasitologi

PROGRAM DIPLOMA TEKNOLOGI MAKMAL PERUBATAN

KOLEJ TEKNOLOGI MAKMAL PERUBATAN

KUALA LUMPUR

ASSIGNMENT PARASITOLOGI SEMESTER 4

HAK CIPTA MOHAMAD ZULKHAIRIL BIN CHE KOB

Pengenalan

Filaria adalah parasite yang berada di dalam peredaran darah manusia dan dikategorikan di bawah kelas nematod darah. Ia adalah sejenis cacing yang tinggal dalam darah manusia dibawa oleh vektor seperti nyamuk.

Antara jenis cacing filarial yang biasa ditemui di asia ialah Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi tetapi ada juga kes yang terpencil seperti Brugia timori. Cacing ini hidup dalam saluran darah dan saluran limfa. Ditransmisi melalui gigitan nyamuk dan mempunyai dua perumah dalam kitar hidupnya.

Jangkitan cacing filaria boleh menyebabkan penyakit kaki gajah (elephantiasis) atau filariasis. Kebanyakan kes di Malaysia adalah disebabkan dua species iaitu Brugia malayi dan Wuchereria bancrofti. Ia menyebabkan kaki membesar di bahagian bawah lutut dan kadang-kadang ia menyebabkan pembesaran di kawasan genital.

Cacing dewasa yang menghuni saluran limfatik dalam kuantiti yang banyak menyebabkan pengaliran darah menjadi tidak baik dan menyebabkan nodus limfa membengkak, ini menyebabkan kaki kelihatan besar atau bengkak.

Limfatik filariasis atau jangkitan cacing ini masih lagi terdapat di Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak. Biasanya jangkitan yang kronik berlaku pada golongon kanak-kanak dan orang tua yang biasanya sistem imun mereka yang lemah. Ini menyebabkan cacing bebas hidup dalam saluran darah periferi tanpa pertahanan dari tubuh.

Peringkat infektif bagi cacing filarial adalah pada peringkat larva peringkat ketiga. Larva filaria dari cacing betina viviparous akan menjangkiti manusia apabila nyamuk yang terinfeksi mengigit manusia.

Cacing ini akan menjadi dewasa dan dan bersenyawa dalam salur limfatik. Peringkat diagnosis bagi semua species cacing filaria adalah peringkat mikrofilaria yang bebas berada dalam salur darah.

Antara nyamuk yang menjadi vektor atau perumah pertama bagi jangkitan filariasis di Malaysia adalah nyamuk Culex. Di dalam tubuh nyamuk, larva cacing filaria peringkat pertama tidak matang dan mikrofilaria tinggal di dalam darah. Mikrofilaria yang telah tertanggal sarungnya, akan berkemban menjadi larva peringkat pertama, kedua, dan ketiga. Larva peringkat ketiga yang infektif akan dipindahkan kepada manusia melalui gigitan.

Pengenalan Brugia malayi

Cacing filaria daripada spesies Brugia malayi juga sering ditemui di Malaysia. Cacing ini ditemui oleh Brug pada tahun 1927. Cacing daripada kelas nematod darah ini boleh menyebabkan penyakit Filariasis Malaya dan Elefantiasis. Walau bagaimanapun, parasit ini selalunya lebih dikaitkan dengan penyakit Elefantiasis.

Dari segi kawasan jangkitan, cacing Brugia malayi banyak terdapat di Asia seperti di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kampuchea, Laos, Jepun, India, Sri Lanka, Filipina, dan China Selatan.

Seperti cacing daripada spesies Wuchereria bancrofti, cacing ini juga merupakan parasit yang terdapat di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Bagi peringkat mikrofilaria pula, cacing ini menghuni saluran darah manusia.

Dari segi morfologi, cacing filaria pada peringkat mikrofilaria(peringkat diagnostik) memiliki nukleus kasar dan bertindih-tindih antara satu sama lain. Selalunya, cacing mikrofilaria berada di dalam sarung yang dicelup dengan warna merah jambu terang dalam pencelupan Giemsa.

Selalunya, jangkitan filaria dikesan pada pesakit dengan melalui penemuan mikrofilaria di dalam darah atau di dalam cecair tisu lain. Simptom penyakit filariasis seperti inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya dan lain-lain selalunya berlaku dengan cepat terutamanya pada kanak-kanak.

Pengenalan Wuchereria bancrofti

Cacing filaria daripada spesies Wuchereria bancrofti ini ditemui oleh Cobbold pada tahun 1887 dan merupakan cacing filaria utama yang menyebabkan penyakit Limfatik Filariasis di Malaysia. Jangkitan cacing Filaria Wuchereria bancrofti boleh menyebabkan penyakit Filariasis Bancrofti dan Elefantiasis.

Parasit ini terdapat di kawasan Asia iaitu di China, India, Jepun, Korea, Asia Tenggara, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Kepulauan Pasifik, Fiji, Samoa, New Guinea, Polynesia, Tahiti, dan Amerika Selatan. Walaupun pada masa sekarang, jangkitan cacing filaria ini semakin berkurangan, akan tetapi ia masih berpotensi untuk menyebabkan penyakit Filariasis di Malaysia.

Seperti cacing filaria yang lain, cacing dewasa W. bancrofti hidup di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Mikrofilaria yang bersarung terdapat di dalam darah. Dari segi morfologi, cacing dewasa betina berukuran 50 – 65 x 0.16 mm dengan ekor yang sedikit melengkung dan hujungnya tajam. Bagi cacing dewasa jantan pula, ia berukuran 23 – 40 x 0.1 mm. Ekornya melengkung dengan tajam dan mempunyai dua spikul.

Bagi peringkat mikrofilaria, cacing filari berukuran 275 – 300 x 8 – 10 mikrometer, bersarung dan memiliki lingkaran badan licin yang tidak berbelit-belit. Nukleus pada badannya kasar dan tidak bertindih, manakala bahagian posterior tidak mengandungi nukleus.

Kebanyakan kes jangkitan menyebabkan jangkitan filariasis yang teruk. Akan tetapi, filariasis boleh dikawal dengan merawat semua pembawa mikrofilaria di kawasan endemik dan mengawal nyamuk vektor.

Walaupun penyakit Elefantiasis sering dikaitkan dengan cacing daripada spesies Brugia malayi, tetapi cacing W. bancrofti masih boleh menyebabkan penyakit ini. Jangkitan limfatik filariasis akan menyebabkan inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya, limfadema, dan limfuria.

Simptom atau Gejala Klinikal Infeksi Brugia malayi dan Wuchereria bancrofti

Pada minggu pertama dan kedua jangkitan Brugia malayi dan Wuchereria bancrofti, pesakit tidak akan mengalami apa-apa perubahan dan tidak menunjukkan sebarang gejala. Tetapi selepas beberapa minggu, gejala-gejala seperti di bawah akan kelihatan.

  1. Inflamasi Nodus Limfa
  2. Demam
  3. Pening Kepala
  4. Loya
  5. Kesakitan pada tempat-tempat jangkitan
  6. Bengkak pada bahagian bawah badan terutamanya bawah lutut

Diagnosis Makmal Untuk Limfatik Filariasis

Terdapat beberapa cara diagnosis makmal untuk mengesan infeksi limfatik filariasis dalam peredaran darah manusia. Antaranya ialah:

Teknik Parasitology

–       Smear Darah (Tebal dan Direk Smear)

–       Mikrokapilari

–       Knott

–       Membrane Nucleopor

Teknik Serology / Imunology

–       Polymerase Chain Reaction Test (PCR)

–       Ultrasonography

–       ELISA

–       Indirect fluorescent antibody

Teknik Histopathology

–       Skin Biopsy

Staining Yang Digunakan

–       Giemsa

–       Hematoxylin

–       Field

Rawatan Penyakit Limfatik Filariasis

Melalui Program Eliminasi Limfatik Kebangsaan, ubat diberikan dengan matlamat untuk membebaskan generasi akan datang daripada elephantiasis, hydrocele dan lain-lain manifestasi daripada filariasis limfatik dengan memutuskan kitaran jangkitan antara nyamuk dan manusia. Rawatan pemberian ubat beramai-ramai dijalankan di kawasan-kawasan yang endemik filariasis setahun sekali. Rawatan yang diberikan melibatkan dua jenis ubat dalam bentuk tablet.

  1. Diethylcarbamazine (DEC) – 6mg/kg
  2. Albendazole – 400mg (dos sama bagi semua tahap umur)

Kedua-dua ubat ini diberikan serentak dibawah kawalselian langsung/ D.O.T (Direct Observation Therapy). Dua jenis ubat digunakan kerana ia lebih berkesan jika dibandingkan dengan penggunaan hanya satu jenis ubat kerana ia dapat mengurangkan densiti filaria dalam darah.

Kedua-dua ubat ini adalah selamat dan mudah dihadam. Walaubagaimanapun, terdapat kesan sampingan am seperti pening, sengal badan, kelesuan, demam, mual dan muntah. Ianya dikaitkan secara positif dengan tahap dan kepadatan mikrofilaria dalam darah. Reaksi ini biasanya berlaku semasa awal rawatan dan kebiasaannya tidak berlanjutan lebih daripada 3 hari. Manakala, kesan sampingan setempat pula adalah gumpalan kecil pada skrotum atau radang kemerahan pada kawasan kulit di mana jangkitan berlaku.

Bagi pengidap limfatik filariasis kronik, penjagaan kebersihan adalah penting untuk mencegah jangkitan sekunder dan peradangan system limfatik. Pembengkakan kecil yang berlaku terhadap bahagian tertentu badan boleh dipulihkan dengan rawatan. Namun, pembengkakan yang besar mungkin boleh diperbaiki melalui pembedahan yang rumit tetapi menghasilkan pembaikan terhad.

Kawalan Penyakit

Bagi penduduk yang tinggal di kawasan endemic filariasis adalah dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada gigitan nyamuk kerana nyamuk merupakan vector bagi transmisi penyakit filariasis ini. Penduduk perlu memastikan kawasan kediaman bebas dari pembiakan nyamuk dan mengurangkan aktiviti luar pada waktu malam terutamanya di kawasan luar bandar atau hutan. Mereka juga perlu memakai pakaian seperti baju berlengan panjang dan seluar panjang serta elakkan daripada memakai pakaian bewarna gelap.

Di samping itu, bagi pengidap penyakit filariasis limfatik kronik perlu menjaga kebersihan diri terutama bahagian anggota badan yang mengalami limfoedema. Penjagaan kebersihan diri ini penting bagi mencegah daripada berlakunya jangkitan sekunder bakteria yang seterusnya boleh menyebabkan manifestasi penyakit yang lebih teruk.

Post ini telah dibaca sebanyak 17344

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*