KOPI BOLEH RAWAT GLAUKOMA?

Glaukoma atau glaucoma adalah sejenis penyakit mata yang mana terdapat ketidak seimbangan cecair akuas (aqueous fluid) di dalam bola mata. Cecair ini berfungsi untuk mengekalkan bentuk bola mata agar sentiasa bulat, di samping membekalkan nutrien kepada bahagian-bahagian mata di sekitar cecair ini iaitu kanta mata dan bahagian dalam kornea (endothelium).

Cecair akuas ini adalah tidak sama dengan air mata yang mengalir keluar dari mata. Ia hanya dapat dilihat apabila seorang doktor memeriksa mata pesakit dengan menggunakan alat yang mempunyai kanta pembesar, seperti lampu biomikroskopi.

Apabila cecair akuas ini tidak seimbang, sama ada terlalu banyak dihasilkan atau kurang disalirkan keluar dari dalam bola mata, tekanan di dalam mata meningkat dan menyebabkan kerosakan pada ibu saraf mata iaitu saraf optik (optic nerve).

Secara definisi, glaukoma adalah penyakit kronik yang sentiasa bersifat progresif menyebabkan kerosakan fizikal pada saraf mata dan mengakibatkan kehilangan medan penglihatan sekeliling bagi pesakit. Kebanyakan kes ia melibatkan tekanan dalam bola mata yang tinggi , tetapi tedapat sebahagian kecil kes glaukoma yang mana tekanan di dalam mata adalah normal, tetapi saraf mata itu lebih sensitif terhadap perubahan tekanan yang kecil.

Glaukoma terbahagi dua jenis iaitu jenis saliran keluar terbuka (open angle) dan saliran tertutup (close angle) . Glaukoma jenis pertama adalah glaukoma yang digelar pembunuh penglihatan senyap kerana kebiasaanya tiada simptom, dan pesakit hanya menyedari mereka mengalami penyakit ini apabila sudah terlewat (contoh tidak dapat melihat kereta dari sisi semasa memandu), atau apabila saringan ahli keluarga terhadap pesakit glaukoma dijalankan. Mata pesakit tidak merah, tiada sakit yang kuat dan pandangan mata tidak kabur. Hanya medan penglihatan mereka sahaja yang sehari demi sehari kian mengecil dan menyempit tanpa disedari.

Faktor risiko adalah pesakit kencing manis, darah tinggi, riwayat penyakit glaukoma di dalam keluarga, usia yang lanjut dan rabun jauh. Glaukoma jenis saliran terbuka ini juga boleh berlaku di kalangan pesakit yang menggunakan steroid pada jangka masa yang panjang, sama ada secara ubat pil, ubat titis mata mahupun ubat krim yang digunakan pada wajah.

Jenis kedua iaitu glaukoma jenis saliran tertutup, adalah lebih kerap berlaku di kalangan wanita, warga emas berusia lebih 70 tahun, pesakit berbangsa Cina, rabun dekat dan mempunyai riwayat keluarga berpenyakit sama. Simptomnya iaitu sakit, mata merah, sakit kepala, muntah, kehilangan penglihatan mata secara tiba-tiba dan melihat gelung putih di sekeliling lampu (halo), semuanya berlaku dalam masa beberapa minit hingga beberapa hari, berbanding glaukoma jenis pertama yang berlaku dalam jangka masa bertahun-tahun.

Apakah akibat tekanan tinggi dalam mata ini?

Tekanan mata yang tinggi ini mengakibatkan saraf mata akan rosak, menyebabkan pesakit hilang medan penglihatan , bermula dengan kawasan paling luar (peripheral visual loss), hinggalah akhirnya apabila sudah lama, hanya satu terowong penglihatan yang tinggal , di kelilingi kegelapan (tunnel vision) . Pesakit glaukoma tidak mengalami kabur pandangan mata , kecuali bagi mereka yang sudah mengalami glaukoma jenis ke dua yang kebiasaannya menyebabkan kebutaaan kekal jika tidak dirawat dalam masa 48 jam.

Bolehkah glaukoma dirawat?

Alhamdulilllah jika dikesan dari awal dan diberi rawatan yang sebaiknya, doktor akan membantu menurunkan tekanan dalam mata, sekaligus memperlahankan proses kerosakan saraf mata tersebut. Cara rawatan adalah dengan ubat titis mata, rawatan laser, pembedahan dan memasukkan implant ke dalam mata untuk meningkatkan saliran cecair akuas keluar.

Tanpa rawatan, tekanan mata yang tinggi akan terus menerus merosakkan saraf mata dan akhirnya pesakit akan buta.

Bagi pesakit yang mengalami glaukoma saliran tertutup, tekanan biasa meningkat dengan sangat cepat, memerlukan rawatan ubat secara intravena dan laser dengan segera, bagi mengelakkan kebutaan yang kekal.

Benarkah ada kopi yang boleh merawat glaukoma?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, rawatan glaukoma bertujuan menurunkan tekanan dalam mata sama ada dengan mengurangkan penghasilan cecair akuas, atau meningkatkan pengaliran cecair tersebut. Hampir 90% rawatan glaukoma adalah LOKAL iaitu rawatan KE DALAM MATA. Hanya ada beberapa jenis ubat yang boleh dimakan iaitu contohnya acetazolamide yang mampu menurunkan tekanan mata , tetapi ia mempunyai kesan sampingan dan tidak boleh digunakan dalam jangka masa yang panjang.

Pakar-pakar mata yang digelar oftalmologis dari seluruh dunia, sebahagian dari mereka menyambung pengajian mereka di dalam sub kepakaran glaukoma berusaha bersungguh-sungguh mencari penyelesaian bagi mengelakkan kebutaan di kalangan pesakit glaukoma. Antara teknologi terbaru adalah i-sert iaitu sejenis implant berharga RM5000 untuk mengalirkan lebih banyak cecair akuas keluar.

Sekiranya ada sejenis minuman yang murah dan berkesan untuk mengelakkan kebutaan, mustahil pakar-pakar ini tidak mahu menyelidik keberkesanannya dengan lebih lanjut. Jika terbukti berkesan, pasti sudah diedarkan di hospital-hospital di mana majoriti pesakit glaukoma datang mendapatkan rawatan.

Hakikatnya belum ada lagi minuman sedemikan. Jika penggunaannya menyebabkan pesakit terlalu yakin, akibat testimoni-testimoni yang melampau, hingga pesakit berhenti menggunakan ubat-ubatan glaukoma yang diberikan oleh pakar mata, dan akhirnya menyebabkan kebutaan, siapakah yang akan dipertanggungjawabkan?

Bantulah kami untuk membantu anda. Rujuklah kepada mereka yang pakar sebelum membuat keputusan yang drastik dalam rawatan kesihatan anda, yang mungkin boleh mengakibatkan kebutaan. Berpeganglah kepada dalil Al-Quran surah An ? Nahl Ayat 43 : ȡ maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui. (an-Nahl: 43).

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kebutaan akibat glaukoma tidak dapat dipulihkan kembali. Bertindaklah dengan bijak.

Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah
Pakar Mata dan Pensyarah Perubatan
Medical Mythbusters Malaysia
#M3

Rujukan :
1) What is Glaucoma? Kierstan Boyd, American Academy of Ophthalmology
2) The pathophysiology and treatment of glaucoma: a review, WeinReib RN et al, JAMA. 2014 May 14;311(18):1901-11. doi: 10.1001/jama.2014.3192.

Photo credit: google & Community eye health journal

Post ini telah dibaca sebanyak 365

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*