Mitos Terapi Ozon

1. Pembongkaran demi pembongkaran dilakukan secara aktif ke atas perkhidmatan terapi ozon oleh Pseudoscience Watch, Root of Science, Medical Mythbuster Malaysia dan doktor-doktor serta petugas kesihatan yang bertauliah.

2. Begitu banyak kepincangan dari sudut sains dan aspek perubatan apabila perkhidmatan ini menawarkan keajaiban merawat pelbagai jenis penyakit.

3. Bagi memberi keyakinan kepada pengguna, perwatakan ahli agama digunakan dengan menggayakan kopiah, janggut dan jubah dalam mempromosikan perkhidmatan ini. Lebih-lebih lagi para artis digunakan sebagai strategi pemasaran mereka.

4. Hasil pembongkaran didengari pihak kementerian apabila kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 2 Januari menjelaskan tiada bukti rawatan ozon mempunyai kelebihan dari aspek terapeutik.

5. Artis-artis yang sebelum ini memberikan sokongan pada awalnya mula menarik balik sokongan tersebut. Malah mereka menyeru peminat masing-masing untuk menjauhi perkhidmatan terbabit.

Tips

6. Terapi ozon menemui ‘sinar harapan’ apabila pada 27 Februari, sebuah rancangan temubual memaparkan tajuk terapi ozon. Tajuk yang sepatutnya dibincangkan dalam satu episod diterbitkan buat kali kedua atas permintaan ramai penonton, menurut pengacara rancangan tersebut.

7. Ianya boleh dianggap momen mendukacitakan buat dunia perubatan Malaysia apabila seorang pakar kecemasan di ibu kota dijemput ke dalam rancangan tersebut dan seolah-olah dimanipulasi untuk menyatakan sokongan kepada terapi ozon.

8. Apatah lagi, lelaki yang dikatakan founder kepada perkhidmatan terapi ozon tanpa segan silu menggunakan gelaran ‘doktor’ di kaca tv padahal gelaran tersebut diperoleh daripada universiti ‘bogus’.

9. Peperangan demi peperangan. Akhirnya Datuk Seri S. Subramaniam selaku Menteri Kesihatan Malaysia mengisytiharkan pengharaman ke atas rawatan terapi ozon. Beliau mengarahkan semua premis berhenti daripada menawarkan perkhidmatan ini.

10. Kepada yang degil, mereka boleh didakwa di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM 200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

11. Kami berharap hukuman ini dapat dilaksanakan segera kerana pusat terapi ini membiak tanpa rasa malu, memudaratkan masyarakat tanpa silu.

Post ini telah dibaca sebanyak 149

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*